بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم
Pada pagi itu, seperti mana pagi-pagi
yang lain, aku menyambut kedatangan seorang tetamu tetapku.
“Assalamualaikum”, seru Subuh.
“Wa’alaikumsalam”, sahutku.
Dan kami terus berpelukan, tanda rindu
serta kasih sayang. Kutanya khabar Subuh, bagaimana keadaannya mengembara dari
satu tempat ke satu tempat.
“Tadi..”, kata Subuh dengan sayu, “… aku
baru sahaja melintasi satu tempat.
Kucari tempat persinggahan, kuketuk
rumah-rumah yang sunyi, tapi satupun yang tiada mahu menerimaku sebagai
tetamu.” Dan airmata Subuh pun berlinangan.
“Subuh, usah kau pedulikan mereka,
bukankah aku menyambutmu dengan penuh rasa kegembiraan? Subuh mengangkat
mukanya seolah-olah teringat sesuatu.
“Oh ya, tadi aku lalu di suatu tempat
yang tanahnya disebalik sungai. Orang-orangnya sepertimu, menyambutku dengan
penuh kesukaan, menjamuku dengan pelbagai hidangan yang lazat serta mengiurkan.
Hidangan yang paling kusuka adalah buah Tahajjud, puas kucari dibumi lain, tapi
jarang kujumpa. Di situ aku meratah buah Tahajjud dengan puas serta leka”.
Dan Subuh merenung mataku mengharapkan
sesuatu. Aku fahami maksud Subuh.
“Maaf Subuh, aku tiada menanam pohon
Al-Lail, jadi aku tidak dapat menghidangkanmu dengan buah yang kau sukai. Tapi
aku ada Roti Shiyam”,cadangku pada Subuh.
Subuh menolak dengan hormat. “Roti itu
ada tuan punyanya”, kata Subuh.
“Adakah kau mahu manisan Zikir?” rayuku
pada Subuh.
“Baiklah, ambilkan aku sedikit, serta
bawakan aku segelas Air Mata Tangisan”, pinta Subuh.
Aku agak sugul, bagaimana harusku
beritahu pada Subuh, yang Air Mata Tangisan sudah hampir kekeringan akibat
kemarau Maksiat yang berpanjangan? Namun, aku tetap menjenguk ke dalam Perigi
yang memuatkan Mata Air tersebut. Aku terkejut. Perigi tersebut hampir separuh
penuhnya. Dan aku berdetik didalam hati, adakah ini tanda kemarau akan
berakhir?
Tanpa berlengah lagi kubawa Air tersebut
pada Subuh, tetamu yang kusanjungi, dan kusuakan manisan yang dipintanya.
Selesai menjamah kesemuanya, Subuh pun melirikkan sebuah senyuman.
“Subuh ..”, seruku, “… mahukah kau
tinggal selamanya denganku? Aku memerlukan teman dalam kesunyian. Akan kulayan
kau dengan sebaiknya,wahai Subuh”. Subuh tersenyum lagi menandakan permintaanku
tidak akan terpenuhi.
“Aku perlu menziarahi ramai orang, dan
ramai lagi yang memerlukan kehadiranku untuk mengubati rindu mereka,
sepertimana aku menguliti mimpimu”.
Dan aku akur dengan penjelasan Subuh.
“Subuh”,.. seruku lagi bila melihat Subuh bersiap untuk pergi, “Sudikah kau
menziarahiku lagi esok hari?”
“InsyaAllah”, jawab Subuh,”… bukankah
aku kekasih yang kau rindui?”
Subuh berangkat dengan lambat tetapi
tetap.
“Assalamualaikum”, seru Subuh.
“Waalaikumsalam”, jawabku kembali.
Dan mataku terus meniti langkah Subuh,
yang semakin laju dengan setiap
langkah. Dan akhirnya Subuh hilang dari
pandangan.
P/S : Apalah agaknya keluh kesah dari
Zohor, Asar, Magrib dan Isyak?
Hasil nukilan Nadhiah
Ariffin
No comments:
Post a Comment